“Antara lainnya, saya bernazar, sekiranya ada sebuah Universiti Awam (UA) yang diwujudkan di negeri Perlis ini, saya akan mewakafkan sebahagian tanah pusaka yang saya miliki untuk pembangunan universiti tersebut.
“Pada asalnya, tanah ini adalah atas nama arwah ayah sebelum dipindahkan kepada tiga orang ibu saya yang kemudiannya menguruskan hal pertukaran nama tanah kepada nama saya tanpa pengetahuan saya yang ketika itu sedang menuntut di universiti.
“Atas kasih sayang mereka kepada saya, kini saya panjangkan kembali kasih sayang itu atas nama wakaf ini agar pahala dan kebaikan ini disalurkan kembali kepada ibu-ibu dan ayah saya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada majlis Menandatangani Surat Ikatan Amanah Tanah Wakaf bersama UniMAP dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). UniMAP diwakili oleh Naib Canselornya, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal manakala MAIPs diwakli oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Nazim Mohd. Noor.
MAIPs akan bertindak sebagai Mutawali atau pemegang amanah manakala UniMAP bertindak sebagai pentadbir kepada tanah yang diwakafkan itu.
Sementara itu, Dr. Zul Azhar berkata, proses wakaf tanah itu merupakan satu pengalaman baharu kepada UniMAP terutama dalam memastikan pemberi dan penerima manfaat mengikut panduan dan syarat wakaf yang ditetapkan.
“Wakaf ini juga secara tidak langsung selaras dengan harsat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperluaskan wakaf pendidikan tinggi yang berpotensi besar menjadi sumber ekonomi dalam menjana pendapatan universiti yang mana ia juga mestilah dilaksanakan dengan kebenaran Majlis Agama Islam Negeri terlibat.
“UniMAP komited untuk mengurus serta mentadbir tanah ini dengan sebaik mungkin untuk memberikan kebaikan dan manfaat secara bersama kepada semua pihak,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ustaz Mohd. Nazim berkata, wakaf merupakan antara intrumen pelaburan yang paling menguntungkan dan tidak akan mendatangkan kerugian jika ditadbir dengan baik.
Ujarnya, malah menerusi aktiviti wakaf itu juga akan semakin menyuburkan dan menambahkan hasil sama ada sebagai di dunia atau juga sebagai saham dan bekalan maka di akhirat nanti.