KAMPUS ALAM, PAUH PUTRA, 27 MAC 2023 - Pusat Islam & Pembangunan Insan menganjurkan Majlis Iftar Jamaie Peringkat UniMAP kali pertama pada tahun ini. Majlis yang julung kali diadakan secara besar-besaran ini bakal menjadi acara wajib tahunan PIMPIN pada tahun-tahun akan datang. Majlis Iftar Jamaie yang diadakan di perkarangan Surau Pauh Putra, Kampus Alam UniMAP menyediakan juadah bukan sahaja warga Kampus Alam UniMAP dan orang ramai tetapi turut menyediakan juadah kepada kampus cawangan UniMAP yang berada di sekitar Perlis. Juadah harian berbuka puasa bakal menampung kehadiran seramai 1200 hingga 1500 orang sehari.
Selain daripada memperbanyakkan program dan aktiviti keagamaan di Bulan Ramadan, Majlis Iftar Jamaie ini diadakan bertujuan memeriahkan dan menghidupkan hari-hari di Bulan Ramadan dengan suasana sedekah dan amal jariah serta memperkukuhkan lagi persaudaraan dikalangan Warga UniMAP dengan para mahasiswa dan Warga UniMAP dengan orang awam. Para individu mahupun organisasi atau agensi yang memberikan sumbangan kepada PUsat Islam & Pembangunan Insan (PIIMPIN) dapat melihat sendiri kemana sumbangan dan sedekah yang mereka beri digunakan. Majlis ini turut bertujuan mempupuk sikap kepercayaan dan kebertanggungjawaban sesama Muslim dalam menjalankan amanah yang telah diberikan.
Menurut Pengarah Pusat Islam & Pembangunan Insan UniMAP (PIMPIN), Ustaz Muhammad Adib bin Hj Hassan, perlaksanaan Majlis Iftar Jamaie ini telah mendapat respon yang memberangsangkan terutama dari kalangan Mahasiswa UniMAP dimana ianya telah membantu menjimatkan wang perbelanjaan harian mereka sepanjang Bulan Ramadan ini.
Penolong Pendaftar Kanan, Ustaz Mohamad Shabuddin bin Mohd Noor berkata " Antara tujuan lain Majlis Iftar ini diadakan adalah bagi mendekatkan diri Warga UniMAP dan orang awam kepada Surau mahupun Masjid yang sepatutnya menjadi Pusat Komuniti kepada orang Islam dan juga memberi peluang kepada warga kerja PIMPIN untuk dikenali warga UniMAP supaya dapat memudahkan urusan dan kerja dakwah yang merupakan tugas hakiki mereka."
Penyediaan juadah berbuka puasa Majlis Iftar Jamaie ini disediakan oleh semua Pusat Tanggungjawab (PTJ), Jabatan dan Fakulti Universiti Malaysia Perlis secara berjadual mengikut giliran yang telah ditetapkan.