en EN ms MS

Al-Andalus Pertahan Kejuaraan Nasyid Antara Jabatan UniMAP 2015

Naib  johan diraih kumpulan An-Nisa’29 dari UniMAP Holdings yang membuat penampilan sulung tahun ini melalui lagu Khabaran Rasulullah manakala tempat ketiga dimenangi kumpulan Kilauan Dinar dari Jabatan Bendahari yang membawakan lagu Citra Ramadhan.

Tempat kedua membawa pulang wang tunai RM 700 dan hamper manakala pemenang tempat ketiga menerima hadiah wang tunai RM500 dan hamper.

Hadiah disampaikan Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin. Turut hadir, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Bahan, Dr. Khairel Rafizi Ahmad dan Pengarah Pusat Islam UniMAP, Hassan Arshad yang merupakan penganjur bersama Pertandingan Nasyid Antara Jabatan Universiti Malaysia Perlis 2015.

Dalam ucapannya, Datuk Kamarudin berkata, umat Islam sewajarnya merebut ganjaran keistimewaan bulan Ramadhan yang tidak termaktub kepada amalan solat sunat terawih, bertadarus, bertasbih, bertahmid sebaliknya perkara-perkara sunat lain yang apabila dilakukan turut menjanjikan pahala yang berganda.

“Mengesakan Allah bukan sahaja tercakup kepada amalan spiritual, namun melaung-laungkan dan memuji nama serta kebesaran Allah seperti bernasyid dan berselawat juga amat digalakkan.

“Selain dari itu, pertandingan yang diadakan di bulan ini juga memberi seribu satu manfaat secara tersirat kepada kita semua dan saya percaya setiap antara anda di setiap jabatan yang memasuki pertandingan ini pasti akan berbincang, bermesyuwarah dan seterusnya mencapai kata sepakat untuk memilih lagu yang sesuai untuk dipertandingkan,” katanya.

Sementara itu, bagi kategori Persembahan terbaik dimenangi kumpulan Innovoice dari Pusat Pengajian Inovatif Perniagaan dan Teknousahawan dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM 300, manakala persembahan vokal terbaik dimenangi Zambri Ibrahim dari kumpulan Baitul Talamiz (Kolej Kediaman)serta meraih wang tunai RM200.

Di penghujung majlis yang sama turut diadakan majlis penyampaian sumbangan kepada staf Jabatan Keselamatan yang terpaksa bertugas di pagi 1 Syawal.  Sumbangan tersebut bagi menghargai jasa dan pengorbanan yang mereka lakukan dalam memastikan premis UniMAP sentiasa dalam keadaan selamat dan terkawal. 

Pautan Asal : https://www.unimap.edu.my/index.php/my/berita-malay/464-al-andalus-pertahan-kejuaraan-nasyid-antara-jabatan-unimap-2015