Berangkat hadir mendengar syarahan tersebut, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajag Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Yang turut hadir, Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin serta Mufti Perlis, Prof. Madya Dr. Haji Mohd. Asri Zainol Abidin.

Antara intipati utama dalam syarahan yang dihadiri oleh hampir 1,200 orang pelajar dan warga kerja UniMAP itu menyentuh mengenai matlamat hidup individu di dunia kebanyakannya didasari oleh keinginan untuk menjadi insan yang bahagia dan tenang.

Namun, jelas beliau, apabila dikurniakan kebahagiaan dan ketenangan ia tidak cukup untuk membuatkan seseorang itu berpuas hati sebaliknya terus mengimpikan untuk mempunyai kewangan yang stabil, pangkat dan jawatan seterusnya berada di kedudukan pertama.

Ujarnya lagi, ibu bapa sendiri sentiasa mengimpikan anak-anak untuk menjadi insan berjaya, yang mana ia merujuk kepada mereka yang berjawatan tinggi serta bekerja dalam bidang professional seperti doktor, jurutera, akauntan dan peguam.

“Seringkali juga wujud perbezaan taraf bagi individu yang berjawatan profesional serta individu yang mendalami hadis dan al-Quran hinggakan golongan ini (hadis dan Al-Quran) hanya sesuai berada di masjid.

“Stigma ini harus diubah dan semua kita sewajarnya berusaha untuk menjadi yang terbaik tanpa mengharapkan ganjaran dan balasan sebaliknya berusaha untuk meninggalkan sesuatu yang baik untuk generasi akan dating,” ujar beliau.

Selain itu, Nouman juga mengingatkan setiap individu untuk terus bersatu terutama di kalangan umat Islam yang mana ia sebenarnya bermula dari kelompok yang lebih kecil iaitu di kalangan ahli keluarga dan masyarakat di kejiranan.

“Contoh yang paling mudah ialah bersatu di dalam solat berjemaah setiap waktu dan jika hubungan ini dipelihara, ia pasti mampu mewujudkan perpaduan dalam skala yang lebih besar,” jelas beliau.

Selain menyampaikan syarahan akademik, Nouman turut diberi peluang mengimamkan solat dan menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Negeri di sini.